Friday, 26 October 2012

Formula Menulis Pendahuluan Karangan

Teknik Penulisan Pendahuluan Karangan Jenis Fakta
Kebanyakan pelajar alpa bahawa pendahuluan dalam karangan merupakan titik awal dalam proses pemarkahan. Pendahuluan yang bebas daripada kesalahan, mempunyai kesinambungan yang erat antara fakta dengan huaraian berserta intipan isi yang samar-samar akan menyebabkan pemeriksa terpikat untuk meneruskan pembacaan, yakni penyemakan sekali gus memberikan markah yang baik untuk anda dalam peperiksaan. Kali ini, saya akan menggunakan formula "Bidang (B), Tajuk (T), Soalan (S)" untuk menghasilkan pendahuluan yang baik. Pembinan karangan ini sesuai untuk tahap PMR dan SPM, sama ada karangan bergambar mahupun karangan panjang. Lihat contoh soalan dan kerangka karangan untuk bahagian pendahuluan yang akan kita bincangkan di bawah ini:
Soalan:
Isu gengsterisme semakin mendapat liputan dalam media massa. Pihak sekolah seolah-olah gagal membanteras gejala ini daripada terus menular. Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini semakin membimbangkan.

Kerangka pendahuluan
B - Masalah sosial
-> semakin membimbangkan
-> mencatatkan peningkatan yang mendadak.
T - Gejala gengsterisme
-> melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah
-> bermaharajalela di sekolah

S -> banyak faktor

Daripada kerang di atas, dapatlah kita membina 5 ayat dengan mudah. Lihat contoh pendahuluan di bawah:

Pendahuluan Kualiti PMR
Pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak. Masalah sosial yang menjadi buah mulut masyarakat ialah gejala gengsterisme. Gejala ini melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Golongan gengster ini semakin bermaharajalela di alma mater. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.
Pendahuluan Kualiti SPM
Dalam keasyikan negara menari rancak bersama bayang-bayang pembangunan yang bergerak pantas pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana pihak polis mendapati kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak sejak akhir-akhir ini. Antara masalah sosial yang terus menjadi buah mulut yang hangat ialah gejala gengsterisme yang bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Keadaan menjadi semakin kronik kerana golongan gengster ini semakin bermaharajalela di sekolah mahupun di luar sekolah. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.
Jika kita mempunyai kesabaran dan kesungguhan yang konsisten, kejayaan pasti milik kita. Oleh hal yang demikian, saya berharap para pelajar dapat menggunakan teknik "B-T-S" untuk menulis karangan yang cemerlang.
Bersatu, Teguh, Sukses!

25 Julai 2008


Peribahasa yang Sesuai Dalam Karangan

Penggunaan peribahasa dalam karangan akan memberi impresi positif kepada pemeriksa bahawa anda mempunyai pengetahuan bahasa yang luas termasuk peribahasa. Oleh itu, saya berharap anda menggunakan sekurang-kurangnya lima peribahasa dalam setiap karangan.


PEPATAH

1. Ada air adalah ikan
– rezeki terdapat di mana-mana sahaja.

2. Ada asap ada api
– persahabatan yang tidak dapat dipisahkan.

3. Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras
– bagi orang yang mampu, segala kehendaknya mudah tercapai.

4. Ada rotan ada duri
– dalam kesenangan tentu ada kesusahannya.

5. Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas
– perbuatan yang jahat akan mendapat balasan juga.

6. Air sama air bersatu, sampah ke tepi juga
– tiada guna mencampuri perselisihan orang yang bersaudara kerana kita akan disisihkan apabila mereka berbaik-baik semula.

7. Akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba
– sesuatu usaha tidak akan menjadi sempurna dengan serta-merta.

8. Alah sabung, menang sorak
– sudah kalah tetapi masih bercakap besar.

9. Alang-alang berdakwat biar hitam / alang-alang berminyak biar licin / alang-alang mandi biar basah
– sesuatu kerja hendaklah diusahakan dengan sempurna, jangan separuh jalan.

10. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
– kalau sudah terlanjur membuat sesuatu perbuatan jahat, biarlah sampai beroleh hasilnya.

11. Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah mati kelaparan
– menguruskan hal orang lain sedangkan hal sendiri diabadikan.

12. Antan patah lesung hilang
– kemalangan yang datang bertimpa-timpa.

13. Ayam terlepas, tangan bau tahi
– melakukan perbuatan yang dilarang akhirnya mendapat malu

14. Baik berjagung-jagung sementara padi belum masak
– lebih wajar membuat pekerjaan yang kurang baik sementara menunggu pekerjaan yang lebih baik.

15. Banyak udang banyak garamnya, banyak orang banyak ragamnya
– kehendak, kegemaran, fikiran, dan lain-lain setiap orang adalah berbeza.

16. Bapa borek, anak rintik
– anak menurut baka bapanya.

17. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
– biarlah bersusah payah dahulu asalkan mendapat kesenangan pada kemudian hari.

18. Berani kerana benar, takut kerana salah
– orang yang benar akan mempertahankan kebenarannya dan orang yang bersalah akan berasa takut.

19. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
– betapa susah orang yang melihat penderitaan orang lain, lebih susah lagi orang yang mengalami penderitaan itu.

20. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
– bermuafakat dalam melakukan sesuatu pekerjaan sama ada susah atau senang.

21. Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar
– berhati-hati apabila menceritakan sesuatu hal.

22. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
– sama taraf.

23. Berpatah arang berkerut rotan
– tali persahabatan yang putus sama sekali.

24. Besar-besar istana raja, kecil-kecil pondok sendiri
– betapa senangnya di rumah besar kepunyaan orang lain, tidaklah sama dengan rumah sendiri biarpun kecil.

25. Besar tidak boleh disangka bapa, kecil tidak boleh disangka anak
– kepandaian atau kelebihan terdapat pada semua orang, tidak kira tua atau muda.

26. Biar mati anak, jangan mati adat
– adat resam tidak boleh dilanggar.

27. Biar putih tulang, jangan putih mata
– lebih baik mati daripada menanggung malu.

28. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
– berbuat baik janganlah berlebih-lebihan tetapi jangan sekali-kali berbuat jahat.

29. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga
– pergaduhan sesama keluarga tidak berpanjangan, akhirnya berbaik-baik semula.

30. Di luar bagai madu, di dalam bagai hempedu
– tipu muslihat biasanya dilakukan dengan perkataan yang lemah lembut dan manis.

31. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
– jika mempunyai cita-cita seseorang akan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mencapainya.

32. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
– kita hendaklah mematuhi peraturan tempat yang kita diami.

33. Diam-diam ubi berisi, diam-diam penggali berkarat
– diam orang yang berilmu itu berfikir sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja.

34. Didengar ada, dipakai tidak
– nasihat yang sia-sia.

35. Enggang sama enggang, pipit-sama pipit
– bergaul dengan orang yang sama taraf.

36. Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
– jasa dan nama baik seseorang yang mati akan dikenang juga.

37. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah
– pergaduhan antara dua orang besar atau pemerintah, rakyat yang mendapat kesusahan.

38. Genggam bara api biar sampai jadi arang
– membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan.

39. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari
– tingkah laku guru akan menjadi ikutan murid.

40. Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga
– budi baik seseorang tidak akan dilupakan walaupun dia telah mati.

41. Harapkan pagar, pagar makan padi
– seseorang yang dipercayai untuk menjaga sesuatu, dia pula yang mengkhianati kita.

42. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
– pembahagian yang sama rata.

43. Hati hendak semua jadi
– jika ada kemahuan, semua kerja akan jadi.

44. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
– jika berkehendakkan sesuatu akan berusaha untuk mendapatkannya, tetapi jika tidak mahu membuat sesuatu pekerjaan, berbagai-bagai alasan boleh diberikan.

45. Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
– semasa hidup kita mestilah mengikuti adat resam, dan apabila sudah mati terserah pada hukum Tuhan.

46. Hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing
– tolong-menolong dalam kehidupan

47. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri
– tidak kira betapa mewah negara orang, namun negara sendiri juga yang lebih baik.

48. Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati
– budi baik seseorang tidak dapat dibalas dengan wang dan harus diingat seumur hidup.

49. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu
– orang yang mengikut hawa nafsu akan musnah akhirnya.

50. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis
– sentiasa beringat dan berhati-hati supaya tidak terpedaya.

51. Ini hari orang, esok hari kita
– malang dan malapetaka itu tidak dapat ditentukan.

52. Itik diajarkan berenang
– membuat pekerjaan yang sia-sia.

53. Jauh bau bunga, dekat bau tahi
– sanak saudara yang jauh selalu dikenang tetapi apabila dekat selalu bertengkar.

54. Kain sehelai sepinggang
– habis hartanya kerana kebakaran atau kecurian.

55. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
– pendapatan cukup untuk hidup sahaja (tidak bekerja tidak dapat wang untuk membeli makanan).

56. Kalah jadi abu, menang jadi arang
– tiada yang kalah atau menang dalam sama sahaja bagi kedua-dua pihak dalam sesuatu pergaduhan, kerana kedua-dua pihak menanggung kerugian.

57. Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa
– kepandaian atau kebolehan bukan pada orang tua sahaja tetapi ada juga pada orang muda atau kanak-kanak.

58. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan
– sangat berbesar hati kerana nasihat atau bantuan orang lain.

59. Kuman di sebarang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak
– nampak kesalahan orang lain tetapi kesalahan sendiri tidak disedari.

60. Kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum
– banyak lelaki dan perempuan di dunia ini, jika tidak berkenaan, pilihlah yang lain.

61. Lain bengkak lain bernanah
– orang lain yang melakukan kesalahan tetapi orang lain pula yang dituduh.

62. Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati
– setiap orang mempunyai keinginan yang berbeza.

63. Lain lubuk lain ikannya (lain padang lain belalang)
– adat dan kebudayaan berbeza antara negara.

64. Lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getahnya
– orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain pula yang menanggung akibatnya.

65. Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan
– manusia mana yang tidak pernah melakukan kesalahan.

66. Lembu punya susu, sapi dapat nama
– orang lain yang bekerja, orang lain pula yang mendapat nama.

67. Lepas dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya
– terlepas daripada sesuatu kesusahan, kesusahan lain pula yang menimpa.

68. Luka sudah hilang, parutnya tinggal juga
– walaupun sudah berbaik-baik selepas berkelahi tetapi kejadian itu masih ada dalam ingatan.

69. Masak di luar mentah di dalam
– kelihatan baik hati tetapi sebenarnya jahat.

70. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak
– menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.

71. Masuk ke telinga kanan, keluar dari telinga kiri
– tidak mahu menerima nasihat yang diberikan.

72. Melepaskan anjing tersepit (Sesudah selepas ia menggigit)
– menolong orang yang tidak tahu mengenang budi akan merugikan kita sendiri.

73. Meludah ke langit menimpa muka sendiri juga
– membuat sesuatu yang tidak padan dengan diri sendiri seperti melawan orang yang lebih berkuasa, akhirnya kita sendiri yang susah.

74. Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih
– mencela orang tetapi diri sendiri lebih buruk daripada orang yang dicela.

75. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana menutupnya
– tidak sesiapa pun dapat melarang seseorang daripada bercakap.

76. Niat hati nak memeluk gunung, apakan daya tangan tak sampai
– tidak berdaya untuk mencapai cita-cita.

77. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa
– mengucapkan terima kasih dan menghargai pemberian dan pertolongan yang diterima.

78. Pelanduk melupakan jerat tetapi jerat tidak melupakan pelanduk
– orang mudah melupakan bahaya tetapi bahaya tetap mengancam.

79. Penyu bertelur beratus-ratus tiada orang tahu, ayam bertelur sebiji riuh sekampung
– orang yang berilmu merendah diri tetapi orang yang berpengetahuan cetek suka berlagak.

80. Pisau di tangan kanan, mentimun di tangan kiri
– orang yang miskin dan lemah dilakukan sesuka hati oleh orang yang kaya dan berkuasa.

81. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
– sabar dan tekun mengerjakan sesuatu, akhirnya berjaya juga.

82. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain
– tekun dan sabar membuat sesuatu pekerjaan akhirnya berhasil juga.

83. Sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu
– orang yang sudah kena tipu akan berhati-hati pada kali lain.

84. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya terjatuh juga
– walau betapa pandai pun seseorang itu, ada kalanya tersilap atau kecundang juga.

85. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
– sebelum melakukan sesuatu hendaklah difikirkan habis-habis dahulu agar tidak menyesal kemudian.

86. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan
– jika tidak dapat dicapai persetujuan dalam sesuatu mesyuarat, hendaklah diselidiki kembali soalan pokoknya.

87. Setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga
– walau ke mana juga seseorang itu merantau, akhirnya balik ke tempat asalnya juga.

88. Siapa makan lada, dialah berasa pedas
– orang yang melakukan sesuatu yang kurang baik mudah terasa apabila orang mengatai dan menyindirnya.

89. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
– adat yang tidak berubah-ubah; sesuatu yang tetap utuh dan tidak berubah-ubah.

90. Takut kerana salah, berani kerana benar
– orang yang bersalah berasa takut tetapi orang yang tidak bersalah berani mempertahankan diri.

91. Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang
– keuntungan yang datang daripada berbagai-bagai punca.

92. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran
– kerana mahu mengejar keuntungan yang besar, harta sedikit yang ada hilang pula.

24 Julai 2008


Karangan Bergambar PMR - Ramalan 3 "DENGGI"

Sebagaimana kita semua sedia maklum, penyakit denggi amat berbahaya. Penyakit ini boleh membawa kematian kepada mangsa.

Punca utama penyakit denggi ialah gigitan nyamuk aedes betina, yakni Nyamuk Aedes Aegypti. Nyamuk aedes biasanya bersembunyi dan bersarang di kawasan air bertakung. Gigitan nyamuk ini akan membawa padah kepada manusia.

Simptom penyakit denggi ialah seseorang diserang demam secara mengejut, sakit-sakit sendi dan ruam. Mangsa perlu dibawa ke hospital. Penyakit ini mesti dikawal kerana platelet darah yang menurun dalam badan akan menyebabkan pendarahan yang membawa kepada kematian.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa tempatan mestilah mengadakan operasi menyembur asap antidenggi. Langkah utama ini dapat membasmi pembiakan aedes betina. Kegiatan gotong-royong juga perlu diadakan di seluruh negara.

Secara tuntas, rakyat Malaysia mestilah berhati-hati dalam soal kesihatan. Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa menyeru agar rakyat dalam menjaga kebersihan sepanjang masa kerana “mencegah lebih baik daripada mengubati”.
( 120 patah kata)

23 Julai 2008


Ramalan Karangan Bergambar PMR - 2

Karangan Bahagian A,

Lihat gambar di bawah dengan teliti, kemudian tulis sebuah karangan tentang kes ragut di Malaysia. Karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Pada masa ini, kes ragut semakin menjadi-jadi dan hangat dibualkan oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana ada kejadian kes ragut yang melibatkan kematian.

Punca utama kes ragut berlaku ialah golongan belia tiada pekerjaan. Sampah masyarakat ini dikatakan malas bekerja. Oleh sebab itu, kerja mereka ialah meragut tas tangan.

Kesannya, dokumen penting dalam beg akan hilang. Selain itu, wang dalam dompet juga dirampas. Yang lebih serius ialah mangsa juga tercedera parah.

Untuk mengurangkan kes ragut, kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang. Pihak polis haruslah mengadakan rondaan yang lebih kerap. Golongan wanita pula dinasihatkan agar tidak membawa tas tangan jika tidak perlu.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa kes ragut sebenarnya boleh diatasi. Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk mengurangkan masalah sosial dan jenayah.
( 118 patah kata)

22 Julai 2008


"Peninju" dan "Petinju" Ada Beza?

Di dalam kelas semalam, YK Lim bertanya kepada saya tentang perbezaan antara "petinju" dan peninju". Dalam bahasa Melayu, perkataan "petinju" dan "peninju" sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. "Petinju" bermaksud ahli tinju atau orang yang terlibat dalam perlawanan tinju. "Peninju" pula bermaksud penumbuk atau gengaman tangan untuk meninju atau menumbuk. Selain itu, "peninju" bermaksud orang yang meninju atau orang yang menumbuk. Dalam hal ini, orang yang meninju tidak sama maknanya dengan orang yang bertinju. Orang yang bertinju ialah orang yang terlibat dalam pertandingan atau perlawanan tinju, manakala orang yang meninju ialah orang yang terlibat dalam pergaduhan atau menumbuk atau meninju seseorang.
Ayat contoh:
1. Petinju negara yang akan menyertai sukan Olimpik 2008 ialah Azahar Othman.
2. Sebelum melepaskan tumbukannya, dia telah menghalakan peninjunya ke muka tokoh politik tersebut.
3.Pihak polis sedang mengesan peninju yang diupah untuk mencederakan ahli perniagaan itu.
Dalam hal ini, kita juga mestilah membezakan makna "peninju" dengan "penumbuk". Hal ini demikian kerana "penumbuk" mempunyai beberapa makna seperti:
a. alat untuk menumbuk sesesuatu seperti padi.
b. orang yang menumbuk sesuatu seperti padi.
c. kepalan atau genggaman tangan untuk menumbuk


Oleh itu, kita tidak sepatutnya menyamakan makna "peninju" dan "penumbuk" sebagai orang yang menumbuk. Jadi, "peninju" ialah orang yang meninju atau menumbuk seseorang, manakala "penumbuk" ialah alat atau orang yang menumbuk sesuatu atau genggaman tangan untuk menumbuk.


Kesimpulannya, perkataan "petinju", "peninju" dan "penumbuk" berbeza. Dari segi ketepatan penggunaannya, "petinju" ialah orang yang bertinju, manakala "peninju" ialah penumbuk atau genggaman tangan. Perkataan "peninju" yang merujuk kepada orang yang meninju atau menumbuk seseorang jarang-jarang digunakan dalam kalangan masyarakat. Makna "penumbuk" pula memang jelas, iaitu alat atau orang yang menumbuk sesuatu seperti padi dan juga kepalan atau genggaman tangan untuk menumbuk.

21 Julai 2008


Karangan Cemerlang SPM 1

Dalam penulisan bahagian B, yakni karangan panjang, saya agak berpuas hati kerana peningkatan yang dipamerkan oleh pelajar tingkatan 4 PTAG dari semasa ke semasa. Berikut ialah tiga karangan yang terbaik.
Soalan 1:
Rukun Negara Memainkan peranan penting kepada negara kita. Huraikan Rukun Negara dan kepentingannya kepada rakyat dan negara.
[ 100 markah ]

Nama pelajar: LIM YEN KHYE
Markah: 89%


Soalan 2
Perubatan tradisional masih mendapat sambutan. (soalan lengkap ada dalam kertas jawapan di bawah)
[100 markah]

Nama pelajar : Andrea Ng Xin Hui
Markah : 87%





Nama Pelajar: Tan Wee Shen
Markah: 87%





Semoga kejayaan anda dapat menjadi platform untuk terus cemerlang dalam penulisan. Cikgu akan sentiasa mendoakan kejayaan anda. Para pengunjung blog ini bolehlah menjadikan hasil tulisan mereka sebagai panduan dan rujukan. Jumlah pelajar yang mendapat A1 dan A2 adalah terlalu banyak tetapi saya hanya memilih yang terbaik sahaja. Syabas kerana anda berusaha!

Jalan-jalan Cari Makan di Pulau Mutiara, Pulau Pinang!


Perjalanan dua hari satu malam di Pulau Mutiara menjanjikan pulangan yang "lumayan" kepada saya pada hari minggu yang lalu. Pada awal pagi Sabtu, yakni 19 Julai, saya telah dijemput oleh Pejabat Pelajaran Pulau Pinang untuk menyampaikan ceramah Peningkatan Tatabahasa di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Kesempatan ini saya ambil untuk menjelajah dunia sajian istimewa yang tersembunyi di perut kepulauan ini. Bak kata peribahasa "sambil menyelam minum air". Perjalanan udara semala 55 minit ini saya isi dengan menyemak karangan pelajar tingkatan 4 di PTAG. Secara jujur, lebih 90 karangan panjang yang bermastautin di dalam bagasi komputer riba saya sejak pertengahan bulan Jun telah menemani saya ke beberapa tempat dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Antara destinasi terdahulu ialah Johor Bahru, Kuching, Kuala Terengganu, dan Pulau Pinang.

Kembali pada cerita saya. Selepas mendarat di Pulau Pinang, saya berjalan keluar dari kapal terbang Boeng 737-400 dan mendapati seorang pramugara sedang mengambil autograf daripada seorang artis wanita. Walau bagaimanapun, saya tidak mempedulikannya. Namun, sementara menunggu kereta daripada pihak yang sepatutnya membawa saya ke USM, saya berdiri di sebelah artia wanita tersebut dan akhirnya mengenalinya sebagai Fish Leong, Liang Jing Ru (梁静茹).

Dengan tidak melengah-lengahkan masa, saya menaiki kenderaan yang bersiap sedia membawa saya ke Hotel G http://www.ghotel.com.my/ yang tersergam indah di lokasi strategik Persiaran Gurney. Selepas mendaftarkan diri, saya pun bersiap-siap ke USM dan menghabiskan masa selama tiga jam di sana. Sepanjang ceramah itu, sessi soal jawab yang berlangsung pada setengah jam akhir merupakan sesi yang ditunggu-tunggu oleh pelajar yang berasal dari Pulau Pinang. Walaupun dewan kuliah hanya boleh diisi sebanyak tiga ratus lima puluh pelajar, namun kepadatan pelajar menyebabkan ada yang terpaksa berkongsi kerusi malar-malar berdiri sepanjang ceramah.
Baiklah, perjalanan percutian singkat saya bermula selepas ceramah selesai jam lima petang. Sekembalinya dari USM, tugasan saya telah selesai. Walaupun tekak berasa penat dan serak selepas bercakap tanpa henti selama tiga jam, namun saya masih bersyukur dengan kekuatan fizikal saya ditambah pula semangat untuk berdarmawisata di Pulau Mutiara. Saya memulakan perjanan ke Plaza Gurney http://www.gurneyplaza.info/ yang terletak bersebelahan dengan hotel tempat saya bermalam. Di sana, saya terus menaiki tingat tiga dan menuju sebuah restoran yang bernama "Food Loft". Dengan perut yang berkeroncong, saya mula mengalirkan air liur apakala pesanan saya, yakni Nasi Ayam Monggolia sampai di atas meja duduk saya!

Selepas menikmati hidangan yang enak lagi sedap ini, saya berasa pemilihan restoran ini sesuai dan indah sekali kerana tempat duduk saya bertentangan dengan kaca yang menghadap lautan biru pada kala senja itu. Sang Suria kelihatan melambai-lambaikan kesegaran angin laut sebelum menyembunyikan diri di ufuk barat sambil memancarkan cahaya jingga kemerah-merahan. Pemandangan asmaraloka itu memang menggamit perasaan saya. Selepas menikmati juadah makan malam, saya meluangkan masa selama satu jam setengah di puat beli-belah tersebut. Di pusat beli-belah itu, saya banyak melihat pelancong dari Timur Tengah dengan purdah, sejenis pakaian umat Islam dari Timur Tengah dan Tanah Besar Arab Saudi untuk menutup aurat mereka seperti di bawah:


Di sebalik purdah itu, jangan kita lupa asal usul mereka! Majoriti yang melancong ke Malaysia pada musim panas seiring program "Cuti-cuti Malaysia" sangat kaya dan memakai pakaian berjenama mahal di sebalik purdah ini. Ada juga yang mengambil gambar! Alamak, saya bukan mahu berjenaka, namun benar-benar berlaku!
Selepas penat berjalan, saya pun pulang ke hotel dan berehat. Gambar di atas memberi pengajaran kepada kita bahawa di mana-mana sahaja kita berada, hak membuat perkara yang disukai haruslah kita pertahankan.

20 Julai 2008,
Menikmati kenyenyakan tidur di kamar mewah memang senantiasa diimpikan oleh kebanyakan orang. Walau bagaimanapun, saya tetap bersemangat untuk pulang walaupun berasa berat hati meninggalkan katil yang besar di dalam bilik hotel yang indah ini. Saya dibawa oleh seorang teman baik dari Pulau Mutiara ini untuk menikmati juadah tengah hari sebelum pulang ke Kuala Lumpur. MH1153 yang saya naiki semalam tidak sepenuh hari ini. Namun, makanan tengah hari yang telah saya nikmati amat menyelerakan.

Selepas menikmati kuetiau goreng yang lazat kerana menggunakan udang bersaiz besar serta keenakan tauge yang sebati dengan haruman makanan ini, saya tidak lupa menyejukkan kerongkong saya dengan Ais Batu Campur (ABC).

Selepas makan, saya pun menaiki kapal terbang sekali gua menuju Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Secara total, saya berasa relaks dengan perjalanan kali ini. Meskipun berasa penat, saya berasa puas hati kerana tidak menyangka sambutan yang baik daripada pelajar dari Pulau Pinang. Kepada semua pelajar, semoga berjaya dalam PMR nanti! Coretan kali ini saya buat kerana memenuhi permintaan pelajar dan pengunjung blog ini yang mahu saya catatkan pengalaman hidup. Semoga anda berpuas hati dengan catatan ringkas lagi bernas ini.

15 Julai 2008


Karangan SPM - Langkah Memupuk Semangat Kejiranan



Soalan:Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.


Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Karya Munsyi Dewan

14 Julai 2008


Sepandai-pandai Tupai Melompat, Akhirnya Jatuh ke Tanah Juga!

Banyak pelajar yang gagal menyiapkan tugasan yang telah saya berikan kerana faktor kemalasan. Alasan ini memang sukar saya terima. Hal ini demikian kerana jangka watu yang saya berikan kepada pelajar adalah cukup. Jangan membuang masa dengan membuat perkara yang tidak memberi faedah. Saya sentiasa berlaku adil. Pelajar yang telah menyiapkan tugasannya akan saya sayangi manakala pelajar yang tidak membuat tugasannya akan saya pampangkan mukanya dalam laman blog ini. Tujuan saya bukan untuk memalukan anda, hanya memberi amaran keinsafan kepada anda kerana "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna"!
Kedua-dua pelajar di atas sudah menyiapkan tugasan mereka walaupun lambat. Namun, saya memilih gambar mereka kerana kemanisan ketawa walaupun diambil gambar "TAK SIAP KERJA"!
S... S.. Sy, mana kerja awak? sampai hari ini pun belum nampak! Padan Muka!

Wahai "Timbalan".... inikah dinamakan "mengajar ketam berjalan betul?"

Malu nak tunjukkan muka? Lain kali... kalau tak siap... SIAP awak!
Setiap tindakan saya bukan bererti untuk menghina, memalukan atau mencabul hak asasi, tetapi bertujuan untuk mengajar anda menjadi pelajar yang lebih baik!





9 Julai 2008


Penanda Wacana

Banyak pelajar tidak mendapat markah yang baik kerana pembentukan ayat yang lemah. Hal ini demikian kerana pembinaan ayat tidak berkesinambungan dan tidak mempunyai hubung kait yang rapat dan mesra. Oleh hal yang demikian, saya telah menyediakan senarai peribahasa untuk para pelajar yang amat saya kasihi. Dalam catatan blog akan datang, saya akan mengajar anda cara menggunakan penanda wacana yang kurang anda fahami. Oleh itu, jika anda mempunyai masalah untuk menggunakan mana-mana penanda wacana, saya bersedia untuk menerangkannya.

Penanda Wacana
i) Penanda permulaan karangan
a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

ii) Penanda memulakan isi baharu
a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

iii) Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala

iv) Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti

v) Penanda menghuraikan contoha) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

vi) Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala (Huraian 1) _(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)
a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan
i) malar-malar

viii) Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,

ix) Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

x) Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........
q) Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa ..........


 http://learntohackaccount.com/


http://ushacker.com

No comments:

Post a Comment

Post a Comment